Rabu, 3 April 2019 | 9:13pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Perbezaan pendirian isu Lynas perdebatan sihat - TPM

KUALA LUMPUR: Percanggahan pendirian antara beberapa menteri berhubung isu Lynas Corporation Ltd (Lynas) adalah satu perdebatan yang sihat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pandangan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, memiliki asas tersendiri berdasarkan portfolio masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir berhubung Lynas hanya akan dibuat di peringkat Kabinet selepas semua pandangan diperhalusi dan dibincangkan.

“Ada dua cara untuk melihat isu Lynas ini, satu daripada aspek ekonomi. Mohd Redzuan pasti mahu (Lynas diteruskan) kerana beliau mahu mempertingkatkan keusahawanan.

“Bee Yin pula perlu ambil pertimbangan aspek alam sekitar, khususnya dengan terjadinya insiden seperti pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim baru-baru ini.

“Dalam isu Lynas, kita mesti pertimbangkan antara kita mahu pelaburan dan pengukuhan ekonomi, atau aspek lain iaitu pencemaran. Apa pun, Lynas mesti tangani masalah sisa yang dihasilkan.

“Perbezaan pandangan antara menteri ini saya kira adalah perdebatan yang sihat untuk kita sama-sama memikirkan kaedah terbaik untuk negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai percanggahan pendapat antara Mohd Redzuan dan Bee Yin, serta Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung isu Lynas.

Mohd Redzuan sebelum ini dilaporkan berkata, operasi Lynas di Gebeng, Kuantan, akan diteruskan kerana pelaburan syarikat memproses nadir bumi itu terlalu besar untuk diabaikan kerajaan.

Bagaimanapun, Fuziah yang lantang menentang Lynas sejak projek itu diperkenalkan pada 2008, membidas pandangan Mohd Redzuan dan menyifatkan Menteri Pembangunan Usahawan itu tiada locus standi untuk berbicara soal Lynas, sebaliknya ia tanggungjawab Bee Yin.

Bee Yin pada Disember lalu dilaporkan berkata, Lynas perlu menghormati perjanjian syarikat itu untuk membawa keluar sisa buangan dari negara ini, berdasarkan komitmen dinyatakan menerusi surat aku janji bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012.

Ditanya sama ada Lynas turut membabitkan Mohd Redzuan, Dr Wan Azizah berkata, Menteri Pembangunan Usahawan itu terbabit dalam aspek pelaburan, manakala Bee Yin bertanggungjawab untuk mengatasi pencemaran.

Berita Harian X