Isnin, 1 April 2019 | 12:28pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) hadir pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia (KKHA) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini. - Foto Siarien Nafis

Malaysia perlu bersedia hadapi status negara tua

SHAH ALAM: Malaysia perlu bersedia dari segi ekonomi, terutama aspek penyediaan kemudahan dan kepakaran untuk menghadapi status negara tua pada 2030, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, negara akan mencapai status negara tua pada 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

“Berdasarkan data pada 2017, bilangan penduduk berusia 60 tahun ke atas ialah 6.3 peratus daripada jumlah rakyat yang ketika ini berjumlah 33 juta.

“Pada tahun 2020 pula bilangan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus dan bilangannya dijangka meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia (KKHA) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Ahli panel lain Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih; Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma dan Pengarang Bersama Laporan UNICEF ‘Kanak-Kanak Pinggiran’, Zouhair Mohd Rosli.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan Berpendapatan 40 peratus Terendah (PeKa B40) dan Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam bagi memastikan rakyat mendapat akses kesihatan yang lebih baik.

“Namun kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan B40, tetapi juga untuk golongan M40 dan T20,” katanya.

Sementara itu, Kamal berkata, kerajaan perlu memandang serius isu kemiskinan yang membelenggu golongan pesara.

“Bagaimana selepas bersara, orang pencen boleh jadi jadi miskin? Keadaan ini menyebabkan selepas usia 65 tahun pun masih ada orang pencen yang bekerja,” katanya.

Bagi Madeline, semua pihak perlu mengubah persepsi terhadap warga tua yang dianggap sebagai liabiliti.

“Rumah orang tua sangat selesa di luar negara, tetapi keadaannya sangat berbeza di negara ini.

“Kebanyakan daripada kita hanya melihat rumah orang tua tidak lebih sekadar tempat untuk anak meletak ibu bapa mereka sahaja,” katanya.

Berita Harian X