Ahad, 31 March 2019 | 2:42pm
PELAJAR menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 selepas sekolah dibuka semula akibat ditutup baru-baru ini berikutan kejadian limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim. - Foto Hairul Anuar Rahim
PELAJAR menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 selepas sekolah dibuka semula akibat ditutup baru-baru ini berikutan kejadian limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pencemaran toksik: Pelajar trauma, terkesan diberi kaunseling mulai esok

PASIR GUDANG: Pelajar yang trauma dan masih terkesan dengan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, akan diberi kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Psikiatri Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan sekolah, bermula esok.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pelaksanaan program kaunseling itu ialah antara langkah diambil jabatan pendidikan negeri (JPN) susulan bencana pencemaran berkenaan.

“Bermula esok, pelajar terjejas khususnya yang masih trauma berikutan insiden pencemaran kimia berbahaya itu, akan menerima bantuan kaunseling daripada pakar termasuk JKM dan Unit Psikatri HSA, selain guru bimbingan di sekolah.

“Kementerian Pendidikan mengucapkan terima kasih kepada semua terbabit kerana membantu secara langsung dalam hal ini.

“JPN juga sudah mewujudkan sistem sokongan untuk mengatasi segala isu berbangkit pascabencana itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan pascabencana pencemaran kimia berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1, di sini, hari ini.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang dikesan 7 Mac lalu, menjejaskan hampir 6,000 penduduk, termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan ditutup sementara sejak 13 Mac sebelum dibuka semula, hari ini.

Ditanya mengenai tempoh pelaksanaan program kaunseling berkenaan, Maszlee berkata, tiada jangka masa tertentu tetapi bantuan akan terus diberi mengikut keperluan.

“Ia akan dibuat secara berperingkat. Untuk permulaan, dalam dua hingga tiga minggu mengikut tahap trauma pelajar terbabit,” katanya.

Beliau berkata, seramai 2,510 pelajar terjejas di Pasir Gudang menerima rawatan akibat bencana pencemaran itu dengan 450 daripadanya dimasukkan ke wad bagi rawatan susulan.

Berita Harian X