Ahad, 31 March 2019 | 11:07am
ABDUL Manaf (kanan) mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
PELAJAR cemerlang SPM 2018, Abdul Manaf Abdul Aziz (kanan) bersama ayahnya, Abdul Aziz Osman dan dua adiknya di Kampung Temai Tengah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pelajar miskin mahu jadi doktor

PEKAN: “Impian saya untuk menjadi doktor walaupun peluang untuk melangkah ke menara gading masih samar kerana kesempitan hidup.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada permohonan biasiswa untuk menyambung pengajian... kalau lulus, bolehlah sambung belajar,” kata Abdul Manaf Abdul Aziz, 18.

Dia adalah antara pelajar dari Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) di sini yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dengan memperoleh 10A dan sedang menunggu keputusan permohonan biasiswa beberapa agensi kerajaan dan swasta.

“Saya ingin membela nasib keluarga yang hidup serba kekurangan... ayah saya, Abdul Aziz Osman, 60, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sentiasa berusaha membesarkan kami lima beradik.

“Kesungguhan saya untuk membuktikan bahawa kami juga mampu berjaya jika diberi peluang,” katanya di sini.


PELAJAR cemerlang SPM 2018, Abdul Manaf Abdul Aziz (kanan) bersama ayahnya, Abdul Aziz Osman dan dua adiknya di Kampung Temai Tengah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Abdul Manaf yang kehilangan ibu, Hasliza Amanah, tahun lalu akibat masalah buah pinggang dan kini menetap bersama keluarganya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, dekat sini, menyimpan impian menjadi doktor pakar dalam bidang otak dan saraf.

Beliau berkata, dia memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Negara, Yayasan Pahang (YP) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

“Setakat ini, belum ada jawapan daripada pihak berkenaan. Saya sentiasa berdoa agar permohonan itu diluluskan dan memberi peluang kepada saya meneruskan pengajian dalam bidang yang sangat diminati itu,” katanya.

Katanya, jika tidak berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara, beliau berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang perubatan.

Berita Harian X