Ahad, 31 March 2019 | 10:19am
EXCO Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan (tengah) bergambar bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 selepas sekolah dibuka semula. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kehadiran 90 peratus pelajar di 111 sekolah Pasir Gudang - EXCO

PASIR GUDANG: Kehadiran pelajar ke 111 sekolah di Pasir Gudang yang sebelum ini ditutup berikutan bencana pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, mencapai 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan, berkata kehadiran pelajar di kawasan terjejas bencana di tahap amat baik walaupun terdapat kebimbangan awal ibu bapa.

“Saya mendapat laporan awal bahawa kehadiran pelajar di 111 sekolah di sini, yang sebelum ini ditutup akibat pencemaran mencapai 90 peratus.

“Laporan kualiti udara daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menunjukkan tahap udara dalam keadaan baik dan bebas pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan sekolah terjejas bencana pencemaran sisa kimia berbahaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri,Azman Adnan dan Pengetua SMK Pasir Gudang 2, Mahidah Kosnan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sebanyak 111 sekolah di sini berkuat kuasa serta-merta 13 Mac lalu akibat pencemaran sisa kimia berbahaya.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, sebanyak 355 pelajar terjejas pencemaran sudah menghantar permohonan mendapatkan Takaful Pelajar Sekolah Malaysia.

Katanya, ia membabitkan pelajar yang dirawat di wad hospital dengan setiap pelajar akan dibayar RM25 sehari, sepanjang mereka dirawat di hospital.

“Kita jangkakan lebih ramai pelajar akan menghantar borang permohonan takaful berikutan sekolah baharu dibuka hari ini,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan membayar pampasan kepada pelajar terjejas pencemaran berkenaan, Aminolhuda berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

Berita Harian X