Jumaat, 29 March 2019 | 1:05pm
AMINOLHUDA (dua dari kanan) bergambar gimik pelancaran program Gotong-Royong Pembersihan yang diadakan di SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Cuti tidak perlu ganti, pelajar selamat ke sekolah

PASIR GUDANG: Semua 111 sekolah di sini yang ditutup susulan insiden pencemaran bahan kimia, awal bulan ini akan dibuka Ahad ini, selain cuti sepanjang tempoh penutupan itu tidak perlu diganti.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Johor, Aminolhuda Hassan, berkata sekolah yang ditutup tidak perlu mengadakan kelas gantian kerana cuti yang diisytiharkan untuk sekolah terbabit adalah cuti bencana.

“Oleh kerana kita (sudah) isytihar dari segi keselamatan (bencana), (maka) cuti itu adalah cuti yang tidak perlu ganti.

“Peperiksaan juga tidak akan dianjak, namun guru diharap dapat menghabiskan silibus pembelajaran kerana mereka perlu kejar seminggu (tempoh cuti pencemaran) bagi memastikan pelajar dapat bersedia hadapi peperiksaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Gotong-Royong Pembersihan Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyebut pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Johor untuk membuat keputusan sama ada cuti akibat pencemaran itu perlu diganti dengan kelas gantian atau tidak.

Aminolhuda berkata, mengikut laporan jawatankuasa bencana, semua 111 sekolah berkenaan berada dalam keadaan selamat untuk dihadiri pelajar.

“Ini kerana semua bahagian sama ada dari pihak bomba, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Bahaya (HAZMAT) dan Jabatan Kesihatan menyatakan keadaan sudah selamat,” katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan pandangan pakar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Saintifik yang juga Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Abdull Rahim Mohd Yusoff, esok diwajibkan kepada semua sekolah membuka kipas dan tingkap di semua bahagian blok yang terjejas supaya ada peredaran udara.

“Sebagai tambahan, taklimat khusus berkaitan keselamatan daripada pakar akan dibuat pada Isnin ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru supaya ibu bapa, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat turut serta mendengar taklimat berkaitan penjagaan seterusnya,” katanya.

Berita Harian X