Rabu, 27 March 2019 | 8:10pm

Pemandu teksi, e-hailing boleh daftar eHO mulai 1 April

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi dan e-hailing yang memenuhi syarat memohon Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing), boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (eHO) yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 April depan.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan, hari ini, pelaksanaan itu membabitkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Katanya, pemandu kenderaan e-hailing adalah setara pemandu teksi, kereta sewa dan teksi mewah, justeru mereka juga perlu memiliki Lesen PSV–Teksi/E-hailing seperti yang termaktub bawah Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Modul latihan bagi Lesen PSV–Teksi/E-hailing ini ialah selama enam jam dengan kadar yuran siling ditetapkan kerajaan sebanyak RM200.

“Lesen fizikal hanya akan dikeluarkan dan dicetak kepada pemandu yang berjaya dilesenkan.

“Bagi pemandu teksi sedia ada yang sudah dilesenkan dengan Lesen PSV–Teksi sebelum ini pula, lesen mereka akan dikemas kini dengan bentuk fizikal baharu ketika pembaharuan lesen PSV dibuat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing berusia kurang tiga tahun, perlu menjalani proses tukar kegunaan daripada Kenderaan Persendirian Individu kepada Kenderaan Persendirian e-hailing selaras peruntukan bawah Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987.

Katanya, permohonan boleh dikemukakan oleh pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara kecuali Pusat Transformasi Bandar UTC, bermula 1 April depan, dengan membawa bersama beberapa dokumen sokongan.

Antara dokumen itu ialah Borang JPJK8 (Pind.1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987; Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1); maklumat laporan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) (VR1) dan borang pengesahan e-hailing.

“Kadar fi bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan persendirian e-hailing setakat ini masih kekal seperti kenderaan persendirian individu, iaitu mengikut kuasa enjin (cc) kenderaan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Semua kenderaan persendirian e-hailing perlu melekatkan pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan pihak eHO seperti ditetapkan oleh JPJ,” katanya.

Di samping itu, menurut kenyataan berkenaan, kenderaan mencapai usia tiga tahun dan ke atas dari tarikh pendaftaran, perlu menjalani pemeriksaan awalan terpakai di PUSPAKOM sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ.

Katanya, pemeriksaan itu boleh dilakukan di 54 cawangan PUSPAKOM seluruh negara dan lapan kenderaan bergerak PUSPAKOM yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan e-hailing.

“Peraturan dan garis panduan ini bertujuan memberi perlindungan keselamatan kepada pemandu dan penumpang serta pihak ketiga terhadap sebarang risiko tidak diingini.

“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan, bermula 12 Julai depan seperti diumumkan Menteri Pengangkutan,” katanya.

Berita Harian X