Rabu, 27 March 2019 | 12:24am
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada jamuan malam dan sambutan Hari Wanita 2019 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada jamuan malam dan sambutan Hari Wanita 2019 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA

Beri penekanan terhadap keseimbangan kerjaya dengan keluarga - TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan swasta perlu terus memainkan peranan dalam memastikan pekerja mereka dapat mengimbangi tugas dengan keluarga, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penekanan terhadap keseimbangan dari segi kerjaya dan pengurusan rumah tangga perlu supaya anggota keluarga yang berada dalam entiti itu tidak terkesan daripada kesibukan ibu bapa bekerja.

“Kita mahu memastikan setiap anggota keluarga saling menyayangi dan meluangkan masa bersama supaya anak-anak kita tidak terbabit dengan sebarang gejala sosial,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika berucap pada jamuan malam dan sambutan Hari Wanita 2019 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Dr Wan Azizah berkata, keseimbangan itu boleh dicapai, antaranya melalui langkah seperti pelaksanaan waktu kerja fleksibel dan penyediaan taska di tempat kerja.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh sasaran 30 peratus anggota lembaga pengarah (ALP) wanita di syarikat tersenarai awam (PLC) yang diumumkan pada 2011.

Beliau berkata, statistik bagi 2018 menunjukkan 1,010 atau 15.7 peratus daripada 6,245 kerusi ALP di semua syarikat PLC, diisi oleh wanita.

Katanya, bagi 100 PLC teratas pula, penyertaan wanita sebagai ALP meningkat kepada 24.4 peratus pada tahun lalu, berbanding 19.27 peratus tahun sebelumnya. – BERNAMA

Berita Harian X