Selasa, 26 March 2019 | 6:39pm
Tan Sri Lee Lam Thye hadir pada majlis prapelancaran COSH 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Pelanggaran SOP jejas integriti pekerjaan - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE) berkualiti rendah, laporan tidak tepat mengenai sesuatu perkara dan menggunakan jalan singkat melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) adalah antara kesalahan integriti dilaporkan dalam industri pekerjaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perkara itu membimbangkan kerana turut membabitkan kes kematian, berpunca daripada kesalahan integriti terbabit.

“Integriti amat penting dan akan menjadi agenda utama pada Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-22 (COSH 2019) pada 26 dan 27 Ogos depan.

“Isu integriti di negara ini berada di tahap membimbangkan, malah boleh menyebabkan lebih banyak kes kemalangan di tempat kerja,” katanya berucap pada majlis prapelancaran COSH 2019 di sini, hari ini.

COSH 2019 bertema ‘Memacu Kecemerlangan KKP Berlandaskan Integriti Demi Masa Hadapan’ dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka dihadiri 1,500 peserta mewakili agensi dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dari seluruh negara.

Lam Thye berkata, pengabaian SOP boleh menyebabkan amalan tidak selamat di pejabat, selain mendorong kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa.

“Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan rasuah atau membiarkannya menjadi budaya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pada majlis sama, Lam Thye turut menyampaikan sijil Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OHS MS) kepada 11 syarikat, antaranya Maskargo Logistics Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, Maxis Broadband Sdn Bhd dan Sepang International Circuit.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye ketika mengulas insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, berkata perkara itu membuktikan aspek integriti penting untuk dipatuhi, termasuk penggunaan PPE.

“Ramai yang turun padang memberi bantuan termasuk pengamal media tetapi tidak dilindungi peralatan mencukupi termasuk PPE.

“Majikan wajar menambah pelaburan berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja demi kebajikan mereka,” katanya.

Berita Harian X