Selasa, 26 March 2019 | 1:11pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melawat Rahimi di Christchurch, minggu lalu. - Ihsan Facebook Mujahid

Rahimi dipindahkan ke wad biasa

GEORGETOWN: Mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad tidak lagi bergantung kepada bantuan alat pernafasan, selain kini dirawat di wad biasa, sejak kelmarin.

Perkembangan itu dimaklumkan abang kepada Rahimi, Rosdi Ahmad, 42, yang kini masih berada di Christchurch untuk memantau perkembangan keluarga mangsa.

Beliau berkata, Rahimi, 39, juga menunjukkan tindak balas positif apabila semua tiub di badannya sudah dibuka dengan semua perkembangan dipantau rapi oleh pihak berkuasa New Zealand.

“Rahimi juga sudah mula menjalani sesi fisioterapi bagi membantu perkembangan pergerakan kaki kanannya.

“Kita juga menerima pelbagai lawatan daripada pihak Kerajaan Malaysia dan Kerajaan New Zealand dari semasa ke semasa,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Minggu lalu, Rahimi dilapor stabil dan mula menunjukkan tindak balas dengan menggerakkan jari selepas menjalani pembedahan mengeluarkan dua peluru.

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Ketiga-tiga kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Mohd Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) pada 16 Mac lalu.

Berita Harian X