X
Isnin, 25 March 2019 | 5:08pm

Tahap jerebu masih normal

KUCHING: Belum ada tanda-tanda ancaman jerebu lebih serius akan melanda walaupun banyak kawasan di negara ini mengalami cuaca panas.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata walaupun jerebu berlaku di beberapa tempat, tahap seriusnya tidak begitu ketara.

“Ada beberapa kawasan mengalami hujan lebat dan di Sarawak pun ada berlaku hujan lebat, jadi jerebu semakin kurang. JAS sentiasa memantau keadaan dan kita sentiasa memantau titik panas menggunakan data dari Pusat Meteorologi ASEAN yang berpusat di Singapura.

“Menerusi sistem berkenaan, kita mampu membuat ramalan jika ada potensi pergerakan jerebu rentas sempadan,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Alam Sekitar di sini, hari ini.

Ahmad Kamarulnajuib (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Amirul Aripin (dua dari kanan) bersama Naib Presiden Kumpulan HSSE Sarawak Energy, Marconi Madai (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani MoU Bagi Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Alam Sekitar, di Kuching. - NSTP/ L Manimaran
Ahmad Kamarulnajuib (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Amirul Aripin (dua dari kanan) bersama Naib Presiden Kumpulan HSSE Sarawak Energy, Marconi Madai (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani MoU Bagi Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Alam Sekitar, di Kuching. - NSTP/ L Manimaran

Sejumlah sembilan organisasi menandatangani MoU berkenaan membabitkan Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan; Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak Ilmu Sdn Bhd (i-CATS); Sarawak Energy Berhad (SEB); Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Minyak Sarawak) dan Sarawak Shell Berhad.

Turut serta adalah Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd; Asean Bintulu Fertilizer; Sejingkat Power Corporations dan X-FAB Sarawak Sdn Bhd.

Sementara itu, Ahmad Kamarulnajuib, berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta mengambil bahagian dalam kempen penjagaan alam sekitar di negara ini.

“Penyertaan syarikat swasta mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) memberi komitmen menjaga alam sekitar adalah kaedah lebih berkesan, selain meningkatkan tahap kecekapan kempen mendidik rakyat menyayangi persekitaran kita daripada terus terancam,” katanya.

Berita Harian X