Ahad, 24 March 2019 | 12:29pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kiri) ketika hadir pada program Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Taman Rapat Setia Baru di Masjid Solatiah, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kiri) ketika hadir pada program Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Taman Rapat Setia Baru di Masjid Solatiah, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Beri maklumat kepada pihak berkuasa

IPOH: Kementerian Kesihatan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim menggunakan saluran yang betul dan bukan menularkannya di media sosial.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata semua pihak termasuk mereka dalam perkhidmatan kesihatan seperti jururawat sepatutnya memberikan maklumat kepada pihak yang berautoriti.

“Jururawat berkenaan sepatutnya menggunakan platform yang betul dan tidak sepatutnya viral di dalam Facebook.

“Sebab kita melihat ada banyak spekulasi dalam media sosial seperti Facebook. Ada yang benar, yang kurang tepat dan ada yang tidak benar.

“Jadi, kita perlu memberikan maklumat melalui cara yang betul supaya maklumat itu boleh dikenal pasti sama ada sahih atau tidak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Taman Rapat Setia Baru di Masjid Solatiah, di sini hari ini.

Dr Boon Chye mengulas tindakan seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib, menulis beberapa komen balas di laman sosial Facebook menyatakan kecederaan dialami anggota bomba itu disebabkan oleh keganasan.

Difahamkan, jururawat itu membuat komen demikian selepas media melaporkan perbicaraan mahkamah koroner yang memetik seorang doktor forensik menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

Dr Boon Chye berkata, mereka yang berkaitan termasuk jururawat juga boleh tampil untuk terbabit dalam inkues berkenaan.

“Jururawat juga boleh terbabit dalam inkues berkenaan. Ketika ini ada doktor yang memberi maklumat.

“Inkues sedang berlangsung dan sedang menunggu keputusan inkues, saya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat khususnya mereka yang terbabit dalam penjagaan Muhammad Adib semasa beliau berada dalam keadaan kecederaan atau ketika beliau dirawat di hospital.

“Kalau mereka yang mempunyai pandangan tersendiri, tampil ke hadapan untuk memberi maklumat agar kita dapat mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan seorang doktor yang menjadi saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak sepadan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks), bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen balas di laman Facebook menyatakan kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh keganasan.

Bagaimanapun, semalam jururawat terbabit membuat permohonan maaf dan membetulkan kenyataannya serta berharap pihak yang menularkan dakwaannya, agar memadamkan kenyataan terbabit.

Sebelum itu, BH turut melaporkan permintaan kerajaan agar individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes Muhammad Adib, anggota bomba yang meninggal dunia susulan kejadian rusuhan kuil di Subang Jaya pada November lalu, tampil untuk menjadi antara saksi pada prosiding inkues kematiannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, maklumat perlu disampaikan menerusi saluran yang betul agar tidak mendatangkan salah anggapan masyarakat sekiranya disebarkan secara tidak tepat.

Berita Harian X