Ahad, 24 March 2019 | 9:30am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

EKSKLUSIF: Turun iklan gimik melampau pil minda

KUALA LUMPUR: Semua iklan produk suplemen (makanan tambahan) termasuk pil minda yang tidak mematuhi syarat atau berdaftar dengan Lembaga Iklan Ubat, Kementerian Kesihatan akan diturunkan segera.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pengusaha ingkar dengan arahan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran tegas kepada pengusaha suplemen seperti pil minda supaya jangan keterlaluan membuat promosi produk yang belum disahkan secara klinikal.

“Kalau mereka terus naikkan iklan, Bahagian Penguatkuasa Farmasi akan bertindak menurunnya.

“Saya juga mengingatkan pengusaha supaya hanya melabelkan produk dan membuat promosi mengikut standard ketika mendaftarkan produk atau permohonan kelulusan lesen di Bahagian Farmasi kementerian.

“Semua pengusaha jangan mencetuskan masalah dan membuat dakwaan terlampau. Kalau mereka memohon pendaftaran produk dengan kementerian sebagai suplemen, selepas mendapat (kelulusan) pendaftaran, jangan melampau sangat ‘claim’ seperti pil minda boleh cergaskan otak dalam masa empat hari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Pertubuhan Fisioterapi Kebangsaan, di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan BH mengenai pil dan gula-gula kononnya boleh menjadikan anak genius atau minda lebih cerdas yang dijual secara berleluasa dalam talian, kini semakin berani mempromosi produk berkaitan di luar pekarangan sekolah.

Taktik penjual atau pengeluar menggunakan testimoni ibu bapa yang mengaku anak menjadi pintar dan cerdas selepas diberi makan pil berkenaan ternyata berjaya mengabui mata orang ramai.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kementerian akan menyiasat status produk berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut.

Sebagai contoh, pendaftaran pil minda dipercayai didaftarkan dan diluluskan di bawah kod suplemen, susulan didakwa mengandungi vitamin dan boleh meningkatkan tahap kesihatan.

“Saya mahu pastikan dulu apa bahan dalam pil minda. Saya yakin kementerian tidak memberikan pendaftaran produk itu sebagai ubatan atau perubatan dadah. Kalau benar suplemen (ketika pendaftaran produk) kekalkan sebagai satu suplemen dan promosikan produk sebagai suplemen.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Tidak ada masalah bagi kami kementerian, tetapi jangan buat dakwaan melampau dengan tidak ada bukti klinikal dan saintifik,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan 357 surat amaran selepas menyaring 24,104 iklan makanan tambahan termasuk pil minda sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 66 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Jualan Dadah 1952 atau Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Bagi tempoh sama, Kementerian Kesihatan mengeluarkan 4,579 notifikasi kepada pengendali iklan supaya menurunkan iklan berikut menerusi platform dalam talian.

Katanya, jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 1,169 notifikasi.

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Muhammad Azmi Abdul Wahab, berkata setakat ini, tiada produk dakwa anak pintar didaftar dan diluluskan di bawah Kawalan Dadah (PBKD).

“Sekiranya mahu mendaftarkan di bawah PBKD, ia perlu disokong dengan kajian saintifik dan keperluan regulatori lain yang akan dinilai ketika proses pendaftaran produk.

“Bahagian Penguatkuasa Farmasi sentiasa mengawal dan membuat pemantauan secara berterusan ke atas penjualan serta pengiklanan produk terbabit (yang didaftarkan dengan PBKD),” katanya kepada BH.

Beliau berkata, bagi produk yang tidak berdaftar tetapi sudah dikelaskan, perlu berdaftar dengan PBKD.

Katanya, pengusaha bukan sewenang-wenangnya mengiklankan produk yang tidak dikenal pasti dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

“Produk yang tidak berdaftar ini mungkin dicampur dengan bahan terlarang dan berisiko mendapat kesan sampingan ke atas kesihatan anak seperti Bahan terlarang yang biasanya dikesan dalam produk tidak berdaftar adalah seperti steroid, antibiotik dan perangsang seks seperti sildenafil.

Semua bahan ini dikategorikan sebagai racun berjadual dan sebarang produk yang mengandungi bahan dikategorikan sebagai ubat dan perlu berdaftar serta penggunaannya perlu di bawah pengawasan pengamal perubatan yang berdaftar,” katanya.

Katanya, pengguna sepatutnya menyemak produk ubat-ubatan termasuk suplemen dan produk tradisional yang ingin dibeli sama ada berdaftar atau tidak bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk terjamin.

“Pengguna disarankan menyemak status pendaftaran produk berkaitan kesihatan sebelum membeli.

“Jangan mudah terpengaruh dengan tuntutan dijanjikan penjual produk dengan dakwaan melampau,” katanya.

Berita Harian X