Sabtu, 23 March 2019 | 1:26pm
ENTRI dimuat naik Dr Mohamad Firdaus di akaun Facebooknya.

Rahimi, Mohd Nazril beransur pulih

KUALA LUMPUR: Mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad, 39, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Christchurch, tetapi, keadaannya beransur pulih.

Perkembangan positif itu dimaklumkan doktor rakyat Malaysia yang bertugas di Hospital Christchurch, Dr Mohamad Firdaus Mohamad Hanib menerusi satu entri dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Dr Mohamad Firdaus berkata, Rahimi juga sudah boleh bercakap tetapi perlahan selain boleh menggerakkan sedikit tangannya malah, turut dikatakan boleh mengecam beliau ketika ditanya.

“Seperti dalam gambar bersama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Dr Mujahid (Yusof Rawa), beliau (Rahimi) sudah tidak lagi bergantung kepada mesin pernafasan.

“Kesakitan beliau masih lagi di tahap yang tinggi dan pasukan perubatan masih cuba untuk mengawalnya menggunakan ubat-ubatan yang ada,” katanya.

Dr Mohamad Firdaus berkata, dia juga sempat bercerita kepada Rahimi mengenai gambarnya bersama Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden yang tersebar di Malaysia selain memberitahu rakyat negara ini sentiasa mendoakan kesihatannya.

“Itu memberikan satu harapan dan semangat kepada beliau.

“Saya berharap kita terus berdoa kerana mereka masih memerlukan doa dan sokongan kita,” katanya.

Selain Rahimi, Mohamad Firdaus berkata, dia juga sempat melawat Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang turut cedera dalam insiden itu dan keadaannya juga dilihat semakin baik.

Seorang lagi rakyat negara ini yang turut cedera dalam insiden terbabit adalah Mohd Tarmizi Shuib, 42.

Sementara itu, dalam entri sama, Mohamad Firdaus turut memuat naik sekeping gambarnya bersama bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams yang dipercayai turut berada di hospital berkenaan untuk melawat mangsa tembakan.

Katanya, dalam situasi sedemikian, kehadiran William disifatkan penting kerana beliau adalah ikon Muslim selain bintang di New Zealand.

William juga adalah simbol kekuatan justeru, kehadiran beliau secara tidak langsung dapat memberi semangat serta kekuatan kepada semua mangsa berjuang untuk pulih.

“Semalam, ketika solat Jumaat hanya sempat melihat beliau (William) dari jauh. Hari ini kebetulan dapat berjumpa figura ini ketika melawat abang Nazri dan abang Rahimi.

“Mangsa-mangsa tembakan dan keluarga sangat memerlukan kehadiran beliau, saya sendiri juga memerlukan beliau sebagai pemangkin semangat,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) 15 Mac lalu, pengganas berkulit putih bertindak ganas dengan melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 50 nyawa dan turut mencederakan puluhan yang lain.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa anak kedua Mohd Tarmizi, Muhammad Haziq,17, ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi terbabit.

Jenazah Muhammad Haziq selamat dikebumikan jam 12 tengah hari kelmarin waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand).

Berita Harian X