Sabtu, 23 March 2019 | 11:14am
DZULKEFLY Ahmad
DZULKEFLY Ahmad

Kerajaan usaha kurangkan kos rawatan kanser

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang melakukan kajian terperinci bagi mengurangkan kos rawatan kanser khususnya di hospital swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kajian berkenaan membabitkan pindaan kawalan ubat-ubatan bagi menentukan harga rawatan yang ditetapkan selama ini.

“Usaha ini dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi-agensi lain bagi melihat harga dan kawalan ubat dalam rawatan kanser.

“Dari segi rawatan di bawah fasiliti Kementerian Kesihatan, ia tidak mempunyai masalah dari sudut kos kerana segalanya dikawal pihak kementerian,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan program Larian Hari Kanser Sedunia di Institut Kanser Negara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan umur supaya menjalani ujian saringan kanser pada peringkat awal.

“Kelewatan mengenal pasti kanser dari awal menyukarkan kanser itu dirawat sekali gus mungkin menelan kos yang tinggi.

“Tidak kira anda siapa pun atau di mana berada, sila jalani ujian saringan pengesanan kanser di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan,” katanya.

Katanya, kerajaan giat menjalankan pelbagai kempen kesedaran bagi mencegah risiko kanser dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk kempen tak nak merokok dan kurangkan pengambilan gula dan alkohol.

Dr Dzulkefly berkata, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati hampir 30 hingga 50 peratus penyakit kanser mampu dicegah melalui gaya hidup sihat.

Berita Harian X