Sabtu, 23 March 2019 | 9:37am
B Kishore.
B Kishore.

EKSKLUSIF: Anak bijak diwarisi daripada ibu bapa, pemakanan

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 75 hingga 80 peratus perkembangan otak bayi bergantung kepada sifat kebijaksanaan diwarisi kedua-dua ibu bapa.

Pakar Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr B Kishore, berkata keturunan adalah faktor paling penting yang mempengaruhi seseorang kanak-kanak dilahirkan cerdik atau genius.

Katanya, makanan pula menjadi faktor tambahan yang membantu mereka membesar sebagai kanak-kanak pintar.

“Tiada jalan singkat menjadikan anak pintar dengan hanya memakan pil. Kalau makan pil sahaja sudah bijak, semua orang boleh jadi bijak atau genius.

“Kalau mahu anak pintar, kena berusaha. Keturunan adalah faktor utama tetapi otak juga perlu dirangsang sejak dalam kandungan sehingga lahir bagi memastikan perkembangannya lebih sempurna.

“Setiap orang memiliki kapasiti otak yang perlu dirangsang bagi menjana potensi terbaik,” katanya.

Beri makanan berkhasiat

Beliau berkata, untuk mendapatkan anak pintar ibu bapa perlu memulakannya sejak dari dalam kandungan termasuk bercakap dengan bayi, mendengarkan alunan muzik yang menenangkan untuk merangsang otak bayi.

Katanya, sepanjang kehamilan, ibu perlu makan makanan sihat dan seimbang.

Selepas dilahirkan ibu perlu menyusukan bayi kerana ia mengandungi khasiat asid lemak Omega 3 atau Asid docosahexaenoic (DHA) yang baik untuk otak.

“Rangsang deria bayi dengan memperdengarkan muzik, bau, sentuhan dan kerap bercakap dengan bayi kerana ia akan merangsang otaknya.

“Sebelum ke sekolah, pastikan anak bersarapan, terutama telur sama ada telur rebus, separuh masak atau digoreng kerana ia baik untuk otak. Ikan laut seperti ikan tenggiri mengandungi minyak ikan yang bermanfaat untuk Intelligence Quotient (IQ) anak.

“Jika bayi kekurangan vitamin seperti Vitamin B1 dan C serta mineral (zat besi), ia juga boleh mengganggu perkembangan otak mereka,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa tidak membiarkan anak berusia bawah dua tahun terlalu terdedah dengan gajet kerana boleh menyekat perkembangan kognitif anak.

Berita Harian X