Khamis, 21 March 2019 | 5:03pm
DATUK Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Hafiz Sohaimi

Mujahid bawa sumbangan Malaysia untuk mangsa serangan di Christchurh

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM174,000 kepada mangsa serangan pengganas kulit putih di dua masjid di New Zealand pada Jumaat lalu.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Zealand hari ini, beliau berkata, sumbangan berkenaan dari agensi di bawah JPM serta sebuah organisasi media.

Katanya, beliau diminta untuk ke New Zealand bagi mewakili Kerajaan Malaysia setelah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, disahkan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi di Christchurch itu.

“Semasa di New Zealand, saya akan menziarahi keluarga Allahyarham dan mangsa rakyat Malaysia yang lain. Saya juga akan uruskan apa-apa hal membabitkan Kerajaan Malaysia selain melawat dua masjid yang menjadi lokasi kejadian,” katanya lagi.

Mengenai masa lama yang diambil untuk mengesahkan Muhammad Haziq terkorban, Mujahid berkata, pengecaman dilakukan melalui ujian DNA.

Beliau turut meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham selepas solat Jumaat esok. - BERNAMA

Berita Harian X