Khamis, 21 March 2019 | 10:53am
DR Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid ke Christchurch petang ini

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan bertolak ke New Zealand pada jam 3.30 petang ini untuk bertemu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan rambang di Christchurch, Jumaat lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini, Mujahid yang mewakili Kerajaan Malaysia akan tiba di Christchurch esok dan bertemu keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

“Selepas bertemu keluarga mangsa, Mujahid juga akan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di salah sebuah masjid yang telah diserang serta menyampaikan khutbah Jumaat,” demikian menurut kenyataan itu.

Difahamkan, seluruh keluarga Allahyarham kini berada di Christchurch kerana bapa remaja itu, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut cedera dan menerima rawatan.

Mujahid sebelum ini meminta semua masjid di seluruh Malaysia mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham selepas selesai solat Jumaat esok.

Muhammad Haziq antara 50 yang terbunuh dalam tembakan rambang dilakukan seorang lelaki kulit putih ‘white supremacist’ (percaya bahawa hanya golongan kulit putih paling mulia) di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Selain Mohd Tarmizi, dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad. - BERNAMA

Berita Harian X