Khamis, 21 March 2019 | 9:41am
DR Mujahid Yusof Rawa.

Solat jenazah ghaib untuk Muhammad Haziq

KUALA LUMPUR: Masjid di seluruh negara disaran mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat esok, susulan berita kematian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan terkorban dalam serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mewakili kerajaan Malaysia ke Christchurch, 3 petang ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Mujahid dijadual dijadual bertemu keluarga Allahyarham Muhammad Haziq sejurus tiba di Christchurch.

“Selepas itu, beliau dijadual menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di sebuah daripada masjid yang diserang serta menyampaikan khutbah Jumaat,” katanya.

Difahamkan, keluarga terdekat Allahyarham sudah berada di Christchurch memandangkan bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut menjadi mangsa serangan berkenaan dan masih dirawat di hospital.

Wisma Putra pagi ini mengesahkan remaja Malaysia, Muhammad Haziq terkorban yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah Kerajaan Malaysia kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia (di New Zealand) akan memberikan bantuan kepada keluarga dalam proses pengebumian jenazah Allahyarham,” katanya.

Berita Harian X