Rabu, 20 March 2019 | 8:19pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Danial Saad

Pulau Pinang mahu kajian dilakukan sebelum bina KXP

GEORGETOWN: Kerajaan negeri mahu Kerajaan Persekutuan melakukan kajian kebolehlaksanaan sebelum memulakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kajian itu perlu dilakukan bagi mengkaji keseluruhan impak, termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi negeri jika projek KXP yang terletak kurang 50 kilometer dari Pulau Pinang itu dilaksanakan.

“Meskipun projek pembinaan KXP, difahamkan akan dibiayai dana daripada sektor swasta, kerajaan negeri tetap dengan pendirian bahawa kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Malah, susulan pengumuman peruntukan untuk membina KXP, semalam, kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi dan maklum balas terutama daripada komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan KXP.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga berharap kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sudah melebihi kapasiti maksimum dapat disegerakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kerajaan Persekutuan semalam meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Perkara itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu majlis di Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebelum ini pihaknya pernah membangkitkan isu mengenai status KXP dalam mesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mahu kedua-dua negeri berbincang bersama Kementerian Pengangkutan.

Namun, katanya, sehingga kini tiada sebarang mesyuarat atau perbincangan yang diatur dan kerajaan negeri mengambil pendirian untuk terus menunggu.

“Baru-baru ini saya hadir mesyuarat di Putrajaya, dan saya bangkitkan isu ini. Dr Mahathir kemudiannya minta kita bincang bersama Kedah dan Kementerian Pengangkutan.

“Tapi sehingga kini tiada sebarang pertemuan yang diatur. Jadi, kita akan tunggu,” katanya.

Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang juga mahu penjelasan daripada kerajaan Kedah berhubung status sebenar KXP, sama ada ia kategori perkhidmatan kargo atau penumpang.

“Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu KXP hanya lapangan terbang kargo, tetapi Mohamed Azmin semalam umum ia adalah lapangan terbang antarabangsa.

“Jadi, kita mahu penjelasan sebenar dari Kedah,” katanya.

Pembinaan KXP yang dirancang untuk dibina di selatan Kedah dengan kawasan seluas 6,000 hektar itu, mula dicadangkan Mukhriz sejak 2014.

Berita Harian X