Rabu, 20 March 2019 | 8:16pm
Laman sesawang MAWIP di https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/
Laman sesawang MAWIP di https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/

MAIWP salur RM52 juta zakat bantu 10,847 mahasiswa

KUALA LUMPUR : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sebanyak RM52 juta kepada 10,847 mahasiswa tahun lalu.

Bantuan zakat kepada 20,345 pelajar peringkat sekolah pula membabitkan peruntukan RM9.5 juta tahun lalu.

MAIWP dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan untuk mahasiswa itu antara lain merangkumi bantuan am pelajaran dan Biasiswa Baitulmal atau Insentif Khas Pelajar Cemerlang.

Katanya, bantuan bertujuan membantu pelajar daripada aspek wang saku, yuran pembelajaran dan buku yang menjadi keperluan pengajian.

“Menerusi bantuan kepada agensi kebajikan, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan, kami menyalurkan sebanyak RM1.3 juta kepada 177 institusi pendidikan dalam melaksanakan program dan aktiviti yang antaranya diharap dimanfaatkan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.

MAIWP mengeluarkan kenyataan itu sebagai reaksi kepada berita yang disiarkan BH Online bertajuk “Pusat zakat, baitulmal perlu bantu mahasiswa miskin”.

Katanya, agihan menerusi skim bantuan itu, dilaksanakan oleh Baitulmal MAIWP, meliputi bantuan daripada aspek keperluan asasi, keusahawanan, kebajikan dan dakwah, termasuk bantuan bagi tujuan pendidikan.

“Zakat dikutip menerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP diagihkan oleh MAIWP menerusi 28 skim bantuan dan program agihan zakat lain secara tidak langsung,” katanya.

Mengenai saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, supaya Baitulmal dapat berperanan lebih aktif di universiti awam, katanya, ia menyambut baik cadangan itu dalam usaha mempelbagaikan aktiviti agihan zakat, khususnya di Wilayah Persekutuan.

MAIWP ialah agensi pengurusan Islam bertanggungjawab dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan.

Berita Harian X