Rabu, 20 March 2019 | 6:26pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

46 lokasi baharu pencemaran ditemui di Pasir Gudang

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 46 lokasi baharu pencemaran di zon perindustrian Pasir Gudang dikenal pasti menerusi imej data satelit, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, penemuan berkenaan diperoleh ketika kerja pemantauan pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim dilakukan menerusi satelit.

“Kita menemui 46 lagi lokasi baharu berpotensi menjadi kawasan pencemaran di Pasir Gudang apabila mencerap seluruh kawasan berkenaan menggunakan satelit.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melakukan siasatan lanjut semua lokasi baharu berkenaan kerana data diperoleh setakat ini adalah menerusi data imej satelit dan dron.

“Kita akan menghantar anggota JAS ke kawasan terbabit untuk pemantauan lanjut kerana tiada angka tepat sama ada kawasan itu membabitkan kawasan pelupusan sampah domestik atau lokasi pembuangan sisa berjadual,” katanya pada sidang media selepas membentangkan laporan penuh Jawatankuasa Saintifik berhubung pencemaran Sungai Kim Kim di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu menjejaskan kira-kira 4,000 penduduk, termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di sini, diarahkan ditutup sementara.

Ditanya sama ada 46 lokasi baharu pencemaran itu akan turut dibersihkan, Bee Yin berkata, kerja pembersihan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya akan menyerahkan senarai 46 lokasi baharu pencemaran itu kepada kerajaan negeri bagi tindakan susulan, ” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan menubuhkan Jawatankuasa Penilai bagi zon perindustrian Pasir Gudang dan sungai tercemar di kawasan itu.

“Ia bagi mengelak kehidupan penduduk kawasan berkenaan terjejas lagi selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita turut bercadang mengadakan Jawatankuasa Penilai di zon perindustrian lain di seluruh negara selepas di Pasir Gudang, ” katanya.

Bee Yin berkata, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk memasukkan hukuman lebih berat juga akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

“Kita akan membuat perundingan bersama dengan pihak berkepentingan bagi membolehkan beberapa pindaan dibuat termasuk menambah hukuman lebih berat kerana kesalahan alam sekitar serius yang menjejaskan nyawa penduduk perlu kepada hukuman lebih tegas,” katanya.

Berita Harian X