Rabu, 20 March 2019 | 5:12pm
SALAHUDDIN Ayub ketika sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Dan Jasamu Dikenang 2019 di KLIA. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Elak pasar tani dikuasai peniaga asing

SEPANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memastikan perniagaan di pasar tani di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak dikuasai peniaga asing seperti berlaku di pasar borong.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata FAMA sudah diarah membuat ‘pembersihan’ dengan melakukan pemeriksaan di semua pasar tani bagi memastikan pemegang lesen di pasar tani FAMA tidak menyewakannya kepada orang lain.

“Saya mahu pasar tani dibersihkan daripada kes peniaga diberikan lesen menyewakannya kepada warga asing, sekali gus membataskan peluang usahawan tempatan terutama usahawan muda berniaga.

“Kita akan periksa semua pemegang lesen dan saya juga akan lakukan pemeriksaan mengejut. Dengan cara itu, pasar tani tidak akan jadi seperti pasar borong yang kita boleh lihat didominasi orang asing,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Selain itu, Salahuddin berkata, penstrukturan semula pasar tani yang sedang dilaksanakan menekankan perubahan aspek fizikal, kebersihan dan kepelbagaian produk pertanian supaya lebih menarik dan berdaya saing.

Pada tahun ini, katanya, FAMA menyasarkan nilai jualan lebih RM3 bilion melalui hampir 3,000 outlet pemasarannya di seluruh negara.

Katanya, pada tahun lalu, FAMA berjaya menjana nilai jualan RM2.9 bilion membabitkan 68,988 usahawan tani terkumpul di bawah bimbingan FAMA.

“Pada tahun ini, kita akan menambah 133 outlet pemasaran baharu. Pemasaran secara dalam talian menerusi Agrobazaar Online juga akan terus diperkasakan selari dengan Revolusi Industri 4.0.

“Selain itu, sebanyak 729 infrastruktur pemasaran terkumpul juga sudah disediakan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar,” katanya.

Berita Harian X