Selasa, 19 March 2019 | 10:51pm
MOHD Tarmizi Shuib (kiri) bersama ahli keluarga di Christchurch, New Zealand. - NSTP/Ihsan Azrul Mahathir Aziz

Jangan sebar khabar angin nasib rakyat Malaysia yang masih hilang

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menasihatkan orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta khabar angin berhubung nasib rakyat Malaysia yang masih hilang susulan serangan ke atas masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 4 petang tadi, polis New Zealand mengumumkan bedah siasat terhadap 50 mangsa sudah selesai dan 12 daripadanya sudah dikenal pasti.


ORANG ramai turut bersempati kejadian tembakan rambang di masjid Christchurch. - Foto AFP

Jenazah enam daripada 12 mangsa yang dikenal pasti sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Jangan membuat sebarang spekulasi dan khabar angin berhubung rakyat Malaysia yang masih hilang dalam insiden itu.

“Polis New Zealand menjalankan proses yang jelas dalam mendedahkan nama mangsa kepada orang ramai. Selepas keluarga dimaklumkan, polis akan menyerahkan maklumat terbabit kepada Kementerian Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.

“MFAT kemudiannya akan menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pesuruhjaya dan Kedutaan negara yang terbabit. Maklumat terbabit akan didedahkan kepada orang awam menerusi saluran medianya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta kerjasama semua pihak supaya menghormati perasaan semua keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden itu.

“Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Nasib remaja rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, yang hilang Jumaat lalu selepas tragedi serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, masih menjadi misteri.

Mohd Haziq berusia 17 tahun yang menunaikan solat di masjid bersama bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan adiknya Mohd Haris, 12, hilang tanpa dapat dikesan selepas peristiwa itu.

Mohd Tarmizi parah ditembak dalam kejadian itu, manakala Mohd Haris selamat dan kedua-duanya ditempatkan di sebuah hospital di Christchurch.

Berita Harian X