Selasa, 19 March 2019 | 6:32pm
Bee Yin (tengah) melakukan lawatan pemeriksaan tahap udara, air, dan tanah di Sungai Kim Kim yang disahkan selamat. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sungai Kim Kim bebas sisa kimia

PASIR GUDANG: Sejauh 1.5 kilometer (km) kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya sejak 7 Mac lalu, kini disahkan selamat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pengesahan itu diberikan berikutan tiada gas berbahaya dikesan di sungai berkenaan selepas kerja pembersihan yang dimulakan sejak lima hari lalu selesai.

“Saya akan turun ke lokasi tercemar selepas ini tanpa memakai penutup hidung dan mulut bagi membuktikan Sungai Kim Kim selamat.

“Bagaimanapun pemantauan di Sungai Kim Kim akan terus dijalankan sehingga 15 hari lagi bagi memastikan kualiti udara di situ benar-benar bebas gas berbahaya.

“Sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya sudah dibersih dan akan dilupuskan dari Sungai Kim Kim.

“Hanya 490 lagi beg jumbo sisa kimia tercemar yang masih ada di lokasi dan akan dilupuskan di kilang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sisa akan diserahkan kepada JAS bagi pelupusan akhir,” katanya.


Bee Yin (kiri) ketika melakukan lawatan pemeriksaan tahap udara, air, dan tanah di Sungai Kim Kim yang disahkan selamat di Pasir Putih, Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sungai Kim Kim, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Saintifik, Prof Abdul Rahim Mohd Yusoff yang juga Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu menjejaskan kira-kira 4,000 penduduk termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di sini, diarahkan ditutup sementara.

Sementara itu, Bee Yin berkata, laporan penuh termasuk kaedah pembersihan dan kualiti udara akan diumumkan pada sidang media esok.

“Saya juga akan membentangkan laporan pencemaran sisa kimia di dua lokasi baharu di Sungai Sembilang dan Sungai Masai esok selepas memperincikan laporan JAS, ” katanya.

Ditanya bila dalang pencemaran Sungai Kim Kim akan didakwa, Bee Yin berkata, perkara berkenaan juga akan dijelaskan esok.

Berita Harian X