Selasa, 19 March 2019 | 1:51pm
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bercakap pada sidang media mengenai pengisytiharan Deklarsi Solidariti Parti Ikatan Bangsa Malaysia terhadap Kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Matic. - Foto Hafiz Sohaimi

IKATAN nyata deklarasi solidariti terhadap Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hari ini mengisytihar deklarasi solidariti terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha mengembalikan integriti negara.

Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata isu negara terpalit dengan rasuah, politik wang dan pelbagai kegiatan ke arah kemusnahan negara sudah lama wujud sebelum skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, ini termasuk memperalatkan institusi penting negara seperti Badan Kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya demi kepentingan peribadi pemimpin politik.

“IKATAN sebulat suara bersetuju mengisytiharkan deklarasi solidariti menyokong kepemimpinan Tun Mahathir dan pemimpin kanannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan tanggungjawab memulihkan negara daripada imej kleptokrasi.

“Tanggungjawab untuk memajukan negara adalah tugas berat apatah lagi pemimpin kini terpaksa membazir banyak masa dalam cubaan melayani kehendak dan kerenah pemimpin politik dan rakyat.

“Justeru untuk atasi masalah ini kita harus kuatkan asas negara dan individu yang berani lakukan hanya Tun Mahathir dan orang sokongannya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bersama dewan tertinggi parti bergambar selepas sidang media mengenai pengisytiharan Deklarsi Solidariti Parti Ikatan Bangsa Malaysia terhadap Kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Matic. - Foto Hafiz Sohaimi

Turut hadir, Naib Presiden IKATAN, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman dan Setiausaha Agung IKATAN, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid.

Selain itu, Abdul Kadir berkata sokongannya terhadap Dr Mahathir tidak memberi sebarang isyarat partinya akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, IKATAN menyokong dasar Dr Mahathir yang jelas ikhlas berkhidmat untuk negara dan rakyat tanpa kepentingan peribadi.

“Kami tidak bercadang untuk bergabung dengan BERSATU, sokongan ini hanya untuk kuatkan tangan beliau saja dalam mengorak langkah memimpin negara seperti yang pernah dilakukan dulu.

“Saya pernah berkhidmat lama di bawah kepemimpinannya, jadi kami yakin mereka berdua saja yang boleh buat kerja besar ikhlas untuk negara,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status IKATAN di dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang diterajui PAS, Abdul Kadir berkata keputusan untuk menyokong Perdana Menteri tidak akan menjejaskan kerjasama antara mereka.

“Hubungan IKATAN di dalam GAGASAN sudah terbentuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

“GAGASAN dipimpin oleh PAS, terpulang kepada mereka untuk aktif atau tidak, sekiranya ada perjuangan yang membina kami akan turut serta,” katanya.

Berita Harian X