Isnin, 18 March 2019 | 10:39am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tarikh sekolah dibuka semula diumum petang ini

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan akan mengumumkan tarikh semua 111 sekolah di Pasir Gudang dibuka semula selepas taklimat khas petang ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata beliau akan menghadiri taklimat terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Bilik Gerakan Utama di Pasir Gudang, di sini hari ini.

“Taklimat ini penting untuk kita membuat keputusan sampai bila sekolah akan ditutup.

“Saya perlukan input dan pandangan mengenai perkembangan terkini situasi pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

“Apa pun, keselamatan dan kesihatan pelajar serta warga kementerian termasuk guru serta kakitangan sekolah menjadi keutamaan kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar dan guru yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat pencemaran itu, hari ini.

Berdasarkan takwim Kementerian Pendidikan, semua sekolah dijadual mendapat cuti penggal selama seminggu bermula Jumaat dan Sabtu ini.

Mengulas mengenai mangsa, Maszlee berkata, tahap kesihatan semua pelajar dan guru yang dirawat di hospital itu semakin baik, berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, suspek kes pencemaran itu mesti ditangkap seberapa segera dan dikenakan hukuman berat kerana tindakan mereka boleh disamakan dengan jenayah yang menjejaskan ramai mangsa.

Berita Harian X