Ahad, 17 March 2019 | 8:47pm
Tinjauan dari udara memperlihatkan operasi pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA
Tinjauan dari udara memperlihatkan operasi pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA

Tiada pembelian panik di Sungai Kim Kim

POKOK SENA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak menerima sebarang laporan berhubung pembelian panik membabitkan barangan keperluan asas di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran kimia, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehingga kini pihaknya mendapati bekalan barangan asas termasuk beras, minyak, bahan api dan gas masih mencukupi untuk pengguna di kawasan itu.

“Setakat ini, saya tidak menerima laporan berhubung pembelian panik oleh penduduk setempat di Sungai Kim Kim dan tidak menerima sebarang kekurangan bekalan di sana.

“Malah bekalan bahan asas seperti beras, bahan api, gas dan minyak mencukupi sekali gus tidak berlakunya pembelian panik, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam, menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, pada 7 Mac.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, sehingga kini pihaknya menerima laporan daripada persatuan nelayan di Pasir Gudang bahawa jualan hasil tangkapan di sana berkurangan sehingga mereka terpaksa menempatkan lebihan jualan di ruang beku.

Berita Harian X