Sabtu, 16 March 2019 | 12:10pm
DR Maszlee Malik
DR Maszlee Malik

Semua sekolah di Pasir Gudang masih ditutup

JENJAROM: Semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang masih ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, keputusan menutup sekolah itu adalah yang terbaik buat masa ini demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Sekolah sudah tutup dan kita tidak ada tarikh bila (sekolah dibuka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Bahagian Pendidikan Swasta di Universiti MAHSA di sini, hari ini.

Rabu lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup semua sekolah di Pasir Gudang susulan pencemaran sisa bahan kimia.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dilaporkan berkata kawasan seluas satu daripada 1.5 kilometer paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan sehingga tengah malam tadi.

Beliau berkata, kerja pembersihan berkenaan dilakukan selama 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik membabitkan 90 pekerja bermula Rabu lalu.

Katanya, sejumlah 250 beg besar berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar dikumpulkan dalam operasi yang bermula sejak 13 Mac lalu dan akan dilupuskan ke kilang yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Lapan sebatian kimia berbahaya disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang antaranya metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

Berita Harian X