Jumaat, 15 March 2019 | 7:31pm
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (duduk tengah) hadir pada Majlis Penyerahan Naskah Al-Quran Tajwid dan Terjemahan di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (duduk tengah) hadir pada Majlis Penyerahan Naskah Al-Quran Tajwid dan Terjemahan di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Umat Islam jangan ambil tindakan terburu-buru - Harussani

IPOH: Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak mengambil tindakan terbur-buru susulan insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand ketika umat Islam mahu menunaikan solat Jumaat tengah hari tadi.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata agama Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak secara melulu meskipun kejadian itu membabitkan umat Islam menjadi mangsa.

Katanya, sekiranya tindakan pengganas itu dibalas dengan tindakan keganasan sama, dibimbangi orang tidak bersalah pula menjadi mangsa.

“Kalau tujuan dia (pengganas) itu kerana dia memusuhi Islam, kita kena serahkan (kejadian itu) kepada pihak berkuasa.

“Kalau kita balas balik ketika dia lakukan tembakan itu, orang tidak bersalah menjadi mangsa dan perkara itu tidak baik.

“Orang Islam tidak boleh bertindak melulu kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan pergaduhan jadi kita tidak boleh ambil tindakan begitu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Naskah Al-Quran Tajwid dan Terjemahan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian yang mengorbankan lebih 40 individu manakala lebih 40 lagi parah dalam serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Harussani berkata, umat Islam juga diingatkan supaya tidak membuat tuduhan terhadap motif serangan berkenaan.

“Kejadian itu berlaku di tempat ibadah, jadi mungkinkah perkara itu berlaku kerana kebencian kepada agama (Islam) atau kerana perselisihan peribadi, jadi motif masih tidak tahu, tidak perlu kita hendak buat tuduhan,” katanya.

Mengenai majlis anjuran Persatuan Huffaz Malaysia (Huffaz Malaysia) itu, Harussani menyampaikan al-Quran bertajwid dan terjemahan kepada 16 sekolah menengah agama di negeri ini.

Antara sekolah yang terpilih menerima kitab suci berkenaan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Slim River, Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Aziz.

Berita Harian X