Khamis, 14 March 2019 | 4:01pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pengusaha kilang di Pasir Gudang jangan panik

KUALA LUMPUR: Pengusaha kilang di sekitar Pasir Gudang, Johor yang menyimpan bahan kimia berbahaya diingatkan agar tidak membuang sisa berkenaan secara panik.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pembuangan sisa bahan kimia secara panik, hanya akan mewujudkan sumber pencemaran baharu, sekali gus memburukkan keadaan.

Sebelum ini, analisis oleh Jabatan Kimia mengesahkan lapan sebatian kimia berbahaya dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, iaitu metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

“Pengusaha kilang yang memiliki bahan kimia berbahaya diminta jangan panik dan tidak membuang sisa itu.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan jika mereka mengikut undang-undang. Tak perlu takut jika ada polis atau pegawai kementerian membuat pemeriksaan di premis kilang.

“Semalam dalam satu mesyuarat, pegawai daerah juga sudah meminta polis membuat sekatan jalan raya pada waktu malam bagi mengelakkan ada pihak yang membuang sisa bahan kimia berbahaya merata-rata,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Bee Yin dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 252 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang dan kesemuanya akan diperiksa dan dipantau dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, sebanyak lapan kilang sudah diperiksa setakat ini dan mereka tidak akan berdepan masalah sekiranya sisa bahan kimia itu masih ada di premis mereka.

“Kita akan tengok pada kilang yang sudah tidak ada sisa berkenaan. Premis itu akan disiasat lebih lanjut bagi memastikan ia tidak dibuang merata-rata,” katanya.

Berita Harian X