Khamis, 14 March 2019 | 11:48am
Pekerja syarikat pembersihan memulakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang. - NSTP/Hasan Ismail

Jangan politikkan bencana Pasir Gudang - EXCO

PASIR GUDANG: Isu pencemaran udara yang berlaku di kawasan ini akibat pembuangan sisa kimia sehingga menyebabkan lebih 500 orang dirawat di hospital sejak Khamis lalu, tidak wajar dipolitikkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata bencana seperti itu sepatutnya menyatukan rakyat, bukan menjadi punca perpecahan.

“Berhentilah menangguk di air keruh, jangan mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua hadapi di Pasir Gudang ketika ini.

“Saya masih ingat, ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014, semua rakyat bersatu-padu berdoa dan menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Ketika itu, tiada lagi taruhan politik, sebaliknya bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti atas semangat kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, beliau sendiri bersama ramai rakan yang bertugas sebagai doktor sanggup mengambil cuti membantu mangsa tanpa mengharapkan sebarang keuntungan politik.

Beliau berkata, bencana di Pasir Gudang menguji semua pihak terutama rakyat Johor supaya bersatu hati memberi bantuan dan sokongan sewajarnya kerana pihak berkuasa sememangnya sudah berusaha sebaik mungkin.

Media hari ini melaporkan, pencemaran bahan kimia beracun yang dikesan di Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih di sini, Khamis lalu semakin merebak sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang berada dalam radius 15 kilometer dari lokasi punca bencana.

Sehingga malam tadi, lebih 500 penduduk terutama pelajar sekolah rendah dan menengah sudah dan sedang dalam rawatan di hospital, termasuk sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang serta-merta kerana pencemaran bahan kimia itu mencetuskan situasi bahaya kepada kanak-kanak.

Berita Harian X