Rabu, 13 March 2019 | 4:30pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakub ketika ditemui media pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakub ketika ditemui media pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Isu terowong bawah laut cetus kekecohan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang berhubung projek terowong bawah laut di Pulau Pinang dan isu provokasi pengisytiharan perang antara kaum.

Kedua-dua isu itu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakub ketika membahas menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perbahasan itu, Ismail Sabri memetik tulisan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, terbabit dalam penyelewengan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang serta mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang terbabit dalam projek itu.

Kenyataan Ismail Sabri itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun menggunakan peraturan mesyuarat meminta kenyataan itu ditarik balik kerana membuat tuduhan.

Ismail Sabri mempertahankan bahawa beliau tidak membuat tuduhan, sebaliknya menyatakan apa yang ditulis Raja Petra dan meminta Menteri Kewangan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Tindakan Rayer itu menyebabkan beberapa wakil pembangkang bangun mempertahankan Ismail Sabri.

Pertikaman lidah semakin memuncak berikutan beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun dan membuat bising meminta Rayer tidak mengganggu perbahasan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof, kemudian mengarahkan Ismail Sabri menarik balik tuduhan itu.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mempertahankan kenyataannya dan tidak akan menarik balik kerana ia bukannya tuduhan daripada beliau, sebaliknya memetik tulisan Raja Petra.

Keadaan itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun mempertahankan Ismail Sabri termasuk wakil PAS.

Dalam kekecohan itu, Mohamad Arif kemudiannya memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang turut mencelah.

Ismail meminta Speaker tidak meminta Ismail Sabri menarik balik kenyataannya kerana ia bukan tuduhan melulu, sebaliknya kenyataan yang sudah dilaporkan di dalam akhbar dan jurnal.

"Saya memohon supaya tidak disekat ahli Dewan Rakyat memetik laporan media dan jurnal yang diterbitkan untuk membangkitkan sesuatu isu," katanya.

Penjelasan Ismail itu menyebabkan Mohamad Arif meminta Ismail Sabri meneruskan perbahasannya.

Kekecohan reda seketika tetapi kembali meletus apabila Ismail Sabri menyentuh berkaitan kenyataan Guan Eng berhubung provokasi perang mengenai kerjasama UMNO-PAS.

Ismail Sabri berkata provokasi itu sangat serius jika tidak disekat boleh menyebabkan berlakunya peristiwa hitam 13 Mei.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hasan yang mencelah perbahasan, berkata jika ada orang yang isytihar perang, maka pembangkang akan berperang.

Kenyataan itu disokong Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Berita Harian X