Khamis, 7 March 2019 | 5:41pm
Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula daripada 1 April 2019 kepada 1 Julai 2019. - Foto hiasan
Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula daripada 1 April 2019 kepada 1 Julai 2019. - Foto hiasan

Duti eksais minuman bergula ditangguh ke 1 Julai depan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula daripada 1 April 2019 kepada 1 Julai 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima maklum balas dan pandangan daripada pihak industri pengeluar minuman terhadap cadangan pengenaan duti eksais berkenaan.

“Penangguhan ini bertujuan memberi tempoh masa yang mencukupi kepada pihak industri pengeluar minuman untuk membuat persediaan yang diperlukan.

“Selain itu, ia juga memberi ruang kepada JKDM untuk membuat persiapan yang sewajarnya termasuk mengadakan siri jelajah dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.

Dua kategori berkenaan adalah air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi lima gram per 100 mililiter (ml), selain jus buah-buahan serta sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 ml.

Selain itu, Subromaniam berkata kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada lima gram per 100 ml kepada 7 gram per 100 ml bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa (susu berperisa) di bawah kepala kod tarif 22.02, tidak termasuk produk minuman susu soya.

“Kenaikan nilai ambang bagi produk ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi paras kandungan gula yang lebih sihat dalam kalangan pengguna,” katanya.

Berita Harian X