Jumaat, 1 March 2019 | 9:31pm
NORDIN Salleh. - Foto Aswadi Alias
NORDIN Salleh. - Foto Aswadi Alias

Bandar Koperasi bakal ditubuhkan di Cyberjaya - SKM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menubuhkan Bandar Koperasi (Co-op City) pada bulan depan, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh.

Beliau berkata, penubuhan Co-op City itu bertujuan menaikkan imej koperasi yang sering dianggap ‘kekampungan.’

Katanya, bandar itu akan diwujudkan di Tamarind Square, Cyberjaya, sebagai simbolik terhadap usaha memodenkan koperasi.

“Setakat ini, saya lihat kewujudan, imej dan pencapaian koperasi negara tidak mencerminkan usianya yang menghampiri 100 tahun.

“Masyarakat mengenali koperasi sebagai gerakan kampung, justeru kita mahu mengubah imej ini.

“Ketika ini, sudah 17 koperasi yang akan menyertai Co-op City di Cyberjaya dan kami menyasarkan 40 koperasi semuanya terbabit dalam projek itu,” katanya pada majlis minum petang bersama media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah SKM, Faridatul Hanim Mohd Johan.

Co-op City yang bertemakan ‘Dari kampung ke alam maya’ itu juga bakal menjadi hab perniagaan.

Sementara itu, Nordin berkata, SKM mempunyai lebih 14,000 koperasi yang aktif dengan keahlian 6.5 juta orang.

“SKM sedang dalam proses membuat pemutihan bagi melihat koperasi yang tidak aktif atau bermasalah.

“Jumlahnya tidak banyak, iaitu 10 peratus sahaja. Bagaimanapun, kita tidak akan ambil jalan mudah untuk tutup, sebaliknya membantu memulihkan koperasi itu,” katanya.

Berita Harian X