Khamis, 28 Februari 2019 | 9:43pm
PENGERUSI Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh menyampaikan ucapan pada Taklimat Media Mengenai Hala Tuju Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sempena Ulang Tahun Ke-10. - NSTP/Aswadi Alias
PENGERUSI Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh menyampaikan ucapan pada Taklimat Media Mengenai Hala Tuju Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sempena Ulang Tahun Ke-10. - NSTP/Aswadi Alias

SKM ubah imej 'kekampungan' koperasi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal mewujudkan Bandar Koperasi (Co-op City), April ini.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh, berkata penubuhan Co-op City itu bertujuan menaikkan imej koperasi yang kerap dianggap ‘kekampungan’.

Katanya, bandar itu akan ditempatkan di Tamarind Square, Cyberjaya sebagai simbolik terhadap usaha memodenkan koperasi.

“Setakat ini kita lihat kewujudan, imej dan pencapaian koperasi negara tidak mencerminkan usianya yang menghampiri 100 tahun.

“Masyarakat mengenali koperasi sebagai ‘gerakan kampung’, justeru kita mahu mengubah imej ini.

“Setakat ini, ada 17 koperasi akan menyertai Co-op City di Cyberjaya dan kami menyasarkan 40 koperasi semuanya,” katanya pada Majlis Minum Petang bersama Media di sini, hari ini.

Co-op City yang bertemakan ‘Dari kampung ke alam maya’ itu bakal menjadi hab perniagaan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah SKM, Faridatul Hanim Mohd Johan.

Sementara itu, Nordin berkata, SKM mempunyai lebih 14,000 koperasi yang aktif dengan 6.5 juta keahlian.

“SKM dalam proses melakukan pemutihan bagi melihat koperasi yang tidak aktif atau bermasalah.

“Jumlahnya tidak banyak iaitu 10 peratus tetapi kita tidak akan ambil jalan mudah untuk tutup, sebaliknya membantu pulihkan koperasi,” katanya.

Berita Harian X