Ahad, 24 Februari 2019 | 8:19pm
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Santai Petang Bersama Penduduk Kampung Taman Pasir Baru, Hulu Semenyih. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Mohamed Azmin hadir pada Majlis Santai Petang Bersama Penduduk Kampung Taman Pasir Baru, Hulu Semenyih. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Belum muktamad tol hanya percuma 11 malam-5 pagi

HULU LANGAT: Mekanisme penghapusan tol lebuh raya, khususnya membabitkan kadar percuma pada waktu bukan puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi, masih belum muktamad.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata mekanisme yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam, masih di peringkat cadangan.

Katanya, sama ada cadangan itu kekal atau berubah adalah tertakluk kepada hasil rundingan antara kerajaan dan syarikat konsesi tol berkenaan, Gamuda Berhad.

“Ini cadangan (hapuskan kadar tol hanya antara jam 11 malam hingga 5 pagi), tetapi kita akan melihat kepada hasil rundingan antara kedua-dua pihak.

“Kita perlu memperhalusi kesan pengambilalihan tol ini kerana nak ambil alih syarikat konsesi ini memerlukan kajian menyeluruh.

“Ketika kita ambil alih syarikat konsesi air di Selangor juga mengambil masa yang lama, tapi perancangan itu harus bermula. Selepas semua pemegang taruh memuktamadkan penyelesaian, kita akan umumkan,” katanya ditemui di Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol lebuh raya dan sebagai ganti, caj kesesakan diperkenalkan pada waktu puncak selama enam sejam sehari.

Selain itu, kadar tol dihapuskan sama sekali antara jam 11 malam hingga 5 pagi, dan pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Ketika ini, kerajaan sedang berunding dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan pengumuman kerajaan untuk menghapuskan kadar tol adalah tidak ikhlas kerana ia hanya antara jam 11 malam hingga 5 pagi, Mohamed Azmin berkata, itu hanya pandangan ‘bossku’, merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Itu kamu dengar bossku. Kamu pergi baca Facebook bossku banyak sangat. Biarlah semua pihak selesai jalankan kajian dahulu.

“Kita mahu apa yang dijanjikan dalam manifesto mesti ditunaikan. Itu komitmen diberikan, cuma masa (kadar tol dihapuskan) perlu ditentukan berdasarkan kajian dan kesan kepada kewangan negara,” katanya.

Berhubung dakwaan pengumuman itu sebagai taktik memancing undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Mohamed Azmin menafikannya dan menegaskan ia sudah dirancang sejak Pakatan Harapan (PH) mengambilalih kerajaan.

“Ini kita bincangkan lebih tujuh, lapan bulan lalu. Kita ada senarai yang harus kita laksanakan mengikut jadual dan kesesuaian masa bagi menentukan apa yang dijanjikan dalam manifesto dapat dilaksanakan.

“Namun kita juga harus mengimbangi pengambilalihan tol ini dengan peruntukan yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X