Sabtu, 23 Februari 2019 | 8:25pm
Rina (tiga dari kiri) merasmikan perhimpunan perdana sambutan Hari KEMAS di MAEPS, di Serdang, hari ini. - NSTP/Rosela Ismail
Rina (tiga dari kiri) merasmikan perhimpunan perdana sambutan Hari KEMAS di MAEPS, di Serdang, hari ini. - NSTP/Rosela Ismail

Peranan KEMAS perlu selaras aspirasi masyarakat, kerajaan

SERDANG: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang ditubuhkan sejak 1961, diselaraskan mengikut harapan dan keperluan masyarakat serta kehendak kerajaan masa kini.

Perdana Menteri berkata, setiap anggota KEMAS perlu menghayati falsafah, dasar dan aspirasi kerajaan yang kemudian disampaikan kepada masyarakat luar bandar dengan harapan mereka turut merasainya.

Beliau berkata, warga agensi itu perlu melakukan perubahan, fleksibel dalam setiap tindakan dan memberi fokus sepenuhnya terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik selaras aspirasi jabatan sebagai penggerak kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Peranan warga KEMAS bukan sahaja perlu aktif mengenal pasti pelbagai isu masyarakat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib, lebih daripada itu, mereka adalah orang yang tepat dalam menyebar luas maklumat berkaitan dasar kerajaan.

“KEMAS perlu memberi keutamaan kepada pembangunan masyarakat dan menjadi tulang belakang kerajaan dalam meneruskan usaha perancangan dan pembangunan negara agar berjalan dengan lebih teratur serta berkesan,” katanya dalam ucapan perasmian perhimpunan perdana sambutan Hari KEMAS di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 4,000 warga Kemas itu dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

KEMAS memiliki seramai 17,905 kakitangan dengan 851 daripada mereka adalah kakitangan tetap, 9,768 petugas kontrak dan selebihnya kakitangan berjawatan sementara kontrak tetap (JSKT).

Dr Mahathir mahu KEMAS memperkukuhkan program kemahiran seperti pendidikan kemahiran jahitan, masakan, kraftangan, dandanan diri dan pendidikan literasi komputer kerana dapat meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita serta menyumbang kepada penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran dengan gaji dan upah yang tinggi.

Katanya, program kemahiran ini dilaksanakan melalui 3,532 kelas kemahiran pelbagai bidang membabitkan seramai 52,632 peserta.

Sementara itu, Rina berkata, kementeriannya sedang berbincang bagi meminta tambahan peruntukan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur di luar bandar.

Selepas berakhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) tahun depan, katanya, kementerian akan memfokus kepada beberapa lagi keperluan asas rakyat sebagai kelangsungan RMKe-12.

Justeru, beliau berkata, untuk lima tahun seterusnya, kementerian mahu menyegerakan pembangunan infrastruktur di luar bandar dan menggiatkan inisiatif membangunkan modal insan.

Berita Harian X