Sabtu, 16 Februari 2019 | 8:34pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika mesyuarat bersama Jemaah Malabari Muslim Johor di pejabatnya di Simpang Renggam. - NSTP/Mohd Fahmi Mohd Yusof

Permohonan status Bumiputera masyarakat Malabari dibawa ke PM

SIMPANG RENGGAM: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk menyampaikan permintaan masyarakat Malabari di negara ini mendapatkan status Bumiputera kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ketika ini masyarakat itu masih dilihat sebagai India Muslim walaupun sudah lama memperjuangkan status berkenaan bagi membolehkan anak mereka memperoleh pelbagai kemudahan termasuk kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pengajian di pusat asasi di universiti awam.

“Saya akan membantu membawa isu ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri untuk masyarakat Malabari mendapatkan status Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jemaah Malabari Muslim Johor yang mewakili masyarakat Malabari di sini, hari ini.

Maszlee berkata, perjuangan mahu mendapatkan status Bumiputera sudah lama dilakukan oleh masyarakat itu yang ramai menetap di Johor.

Katanya, takrifan Melayu dan Bumiputera dalam perlembagaan menepati apa yang ada pada masyarakat itu hari ini iaitu beragama Islam, berpakaian Melayu dan berbudaya Melayu.

“Anak masyarakat Malabari selama ini hidup dan menyambung pelajaran mereka sebagai India Muslim, kecuali ada yang berkahwin dengan Melayu.

“Status sebagai India Muslim tidak melayakkan mereka mendapatkan bantuan MARA atau melanjutkan pengajian ke Giat MARA,” katanya.

Berita Harian X