Isnin, 11 Februari 2019 | 8:29pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada tetamu di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Hotel Royal Signature, petang tadi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing wajib daftar PERKESO sebelum Jun

ALOR SETAR: Pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing akan dikenakan kompaun sehingga RM4,000 sekiranya masih gagal mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum Jun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pemandu terbabit juga boleh didakwa sekiranya masih enggan berbuat demikian selepas mengabaikan peringatan daripada pertubuhan itu.

“Ini adalah tindakan terakhir yang akan kita ambil, PERKESO akan memberi kesedaran dan mendidik mereka dahulu, kita bukan nak paksa mereka tapi kita nak beri perlindungan.

“Nilai yang mereka perlu carum terlalu kecil kalau mereka kata kita nak ambil duit mereka yang tak sampai 50 sen sehari atau hanya RM157 setahun, sedangkan kita memberi perlindungan dan jaminan untuk keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Hotel Royale Signature di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata sehingga 29 Januari lalu, PERKESO hanya menerima 10,677 pendaftaran daripada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk Skim Bencana Kerja Persendirian Sendiri mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 2017 (Akta 789).

Katanya, jumlah itu masih kecil berbanding 300,000 pemandu di seluruh negara.

Sementara itu, Mahfuz berkata skim PERKESO akan diperluaskan kepada pemandu bas yang bekerja sendiri termasuk bas sekolah, bas kilang, bas persiaran dan sebagainya.

Katanya, perluasan itu dijangka memberi perlindungan keselamatan sosial kepada lebih 40,000 pemandu bas seluruh negara.

Terdahulu, Mahfuz turut menyampaikan hamper dan angpau kepada 40 ibu tunggal, penjaga dan anak yatim.

Selain itu, seramai 10 orang menerima faedah PERKESO serta sumbangan kerusi roda.

Yang turut hadir ialah Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Berita Harian X