Sabtu, 9 Februari 2019 | 1:40pm
Kementerian Kesihatan sudah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di mana hingga Khamis lalu, sebanyak 1,740 rumah dibuat semburan kabus (fogging), terutama di kawasan kejadian kes. - Foto hiasan
Kementerian Kesihatan sudah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di mana hingga Khamis lalu, sebanyak 1,740 rumah dibuat semburan kabus (fogging), terutama di kawasan kejadian kes. - Foto hiasan

23 kes Chikungunya direkod di Tanjung Sepat

PUTRAJAYA: Sebanyak 23 kes penyakit Chikungunya direkodkan di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, sejak 29 Januari hingga Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan pencegahan dan kawalan sudah dilaksanakan segera oleh Jabatan Kesihatan Selangor.

“Gejala dialami ialah demam, sakit sendi dan ruam. Semua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian dilaporkan.

“Kementerian Kesihatan sudah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di mana hingga Khamis lalu, sebanyak 1,740 rumah dibuat semburan kabus (fogging), terutama di kawasan kejadian kes.

“Kawasan terbabit ada kadar pembiakan aedes yang tinggi, iaitu 3.8 peratus. Oleh itu, gotong-royong bersepadu sudah dilaksanakan pada Khamis lalu, selain mengedarkan 939 risalah kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 39 kes Chikungunya dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga Khamis lalu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, Selangor mencatatkan 23 kes, diikuti Melaka (sembilan), Kelantan (enam) dan Perlis (satu).

“Gejala penyakit Chikungunya ialah demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang teruk. Individu yang ada gejala ini diminta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk supaya meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan aedes di tempat masing-masing.

“Masyarakat juga diminta sentiasa melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan repelen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, masyarakat disaran menggunakan semburan aerosol pembunuh nyamuk dewasa atau bahan pembunuh nyamuk lain seperti lingkaran nyamuk untuk membunuh nyamuk dewasa.

“Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas daripada pembiakan aedes dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, denggi dan Zika,” katanya.

Berita Harian X