Khamis, 7 Februari 2019 | 2:48pm
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. - Foto Aizuddin Saad
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. - Foto Aizuddin Saad

Al-Sultan Abdullah kekal YDP MUIP

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah kekal sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), walaupun baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak menjejaskan kedudukan dan jawatan baginda sebagai Ketua Agama di Pahang.

“Setakat ini, belum ada makluman rasmi atau keperluan untuk melantik Pemangku Raja Pahang yang baharu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang Dipertua MUIP bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah.

“Walaupun baginda sudah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hujung bulan lalu, namun baginda kekal sebagai Ketua Agama bagi negeri Pahang, cuma buat masa ini, baginda juga menjadi Ketua Agama bagi negeri-negeri lain (yang tidak mempunyai Sultan dan Raja),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata, pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang Dipertua MUIP dibuat pada 8 Mei 1974 dan tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 24 Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang yang jelas menyatakan bahawa Raja Pemerintah adalah Ketua Agama Negeri.

Katanya, ia juga sejajar dengan Seksyen 4 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 dan dipersetujui Sultan Pahang ketika itu, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Semua urusan penyerahan dan pengagihan kutipan zakat akan diuruskan pihak MUIP sepanjang Al-Sultan Abdullah menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, kecuali ada titah dikeluarkan baginda.

“Buat masa ini, tidak ada perubahan struktur (organisasi) dalam MUIP dan ia akan diuruskan seperti sebelumnya,” katanya.

Berita Harian X