Khamis, 7 Februari 2019 | 11:40am
DR Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (tengah) bersama peserta AWETA, (dari kanan), Nurul Atiqah Tamarun, Jannah Sieton Abdullah, Siti Jumaidah Bensali (dua dari kanan) dan Sharifah Azian Tuan Muda Nur (kanan) yang terpilih sebelum berlepas ke Norway untuk membuat latihan intensif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
DR Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (tengah) bersama peserta AWETA, (dari kanan), Nurul Atiqah Tamarun, Jannah Sieton Abdullah, Siti Jumaidah Bensali (dua dari kanan) dan Sharifah Azian Tuan Muda Nur (kanan) yang terpilih sebelum berlepas ke Norway untuk membuat latihan intensif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Empat calon AWETA jalani simulasi ekspedisi Antartika di Norway

SEPANG: Empat calon peserta Misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) berlepas ke Oslo, Norway awal tadi nanti bagi menjalani latihan berhadapan cuaca sejuk melampau untuk ekspedisi ke Antartika yang dijadualkan Disember ini.

Ia adalah sebahagian daripada latihan simulasi sebenar oleh peserta bagi menempuh perjalanan menggunakan ski sejauh 550 kilometer ke titik sifar darjah Kutub Selatan.

Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, berkata calon peserta akan dilatih dari segi berpakaian, komunikasi dan navigasi, selain menarik beban dan memasang khemah ketika latihan selama 12 hari itu.

“Ini adalah latihan simulasi sebenar supaya peserta dapat merasai bagaimana suasana di Antartika kelak, cuma mungkin suhu sejuk di sana sehingga empat kali ganda nanti.

“Pada Julai nanti, mereka yang layak akan menjalani satu lagi simulasi sebenar di New Zealand, sebelum tiga hingga lima daripada enam calon peserta diumumkan untuk menjalani ekspedisi sebenar di Antartika sebelum November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berangkat ke Oslo bersama empat calon peserta AWETA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Pengarah Projek AWETA 2019, Datuk Noorizah Abd Hamid.

Sharifah Mazlina berkata, disebabkan semua calon peserta tidak mempunyai pengalaman dalam ekspedisi bersalji, pihak logistik Antartika meletakkan satu lagi syarat iaitu mereka perlu menjalani pra ekspedisi pada November ini.

“Mereka sepatutnya diberi masa 30 hari untuk menamatkan ekspedisi tetapi disebabkan tidak ada pengalaman dalam ekspedisi bersalji, mereka perlu masuk ke Antartika pada November ini untuk pra ekspedisi, kemudian melakukan ekspedisi sebenar pada Disember,” katanya.

Beliau berkata, jika berjaya, pasukan berkenaan akan menjadi kumpulan wanita Malaysia pertama yang akan merentasi Antartika.

Sementara itu, Noorizah berkata, walaupun hanya empat peserta dipilih menjalani latihan di Norway, dua lagi peserta tetap mempunyai peluang untuk ke Antartika melalui saringan akhir yang akan dijalankan sebelum November ini.

“Kami juga akan memantau prestasi dan tahap kecergasan mereka bermula sekarang sehingga November depan,” katanya.

Selain itu, Noorizah turut berharap lebih banyak pihak akan tampil bagi menaja ekspedisi berkenaan yang menelan belanja lebih RM4.5 juta.

“Penajaan itu akan menampung kos dua bulan peserta pada sesi pra ekspedisi dan ekspedisi sebenar, selain peralatan dan kelengkapan,” katanya.

Sebelum ini, misi berkenaan sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu, namun ditangguh ke tahun ini disebabkan faktor logistik pihak Antartika.

Berita Harian X