Khamis, 7 Februari 2019 | 7:17am
TAKIYUDDIN Hassan.

PAS beri kerjasama penuh kepada SPRM

KUALA LUMPUR: PAS akan bekerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke akaun pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, turut memberi jaminan pihaknya akan menyerahkan segala dokumen berkaitan jika diminta oleh SPRM bagi tujuan membantu siasatan berkenaan.

“Ini termasuk penyata akaun bank PAS Pusat bagi membuktikan dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

“PAS juga mengalu-alukan dan menggesa pihak yang kononnya mempunyai maklumat berhubung dakwaan itu dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil menamakan secara terperinci serta memberi butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang terbabit.

“Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS meletak sepenuh keyakinan terhadap SPRM sebagai entiti berintegriti untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional.

Katanya, PAS percaya SPRM akan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah tanpa bersikap pilih kasih.

Semalam, SPRM dilapor akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

Antara yang dikatakan bakal dipanggil ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Portal Sarawak Report pada Ogos 2017 menyiarkan laporan antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pada 1 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London, Hadi membuat ketetapan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap defendan manakala Rewcastle Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Turut dipersetujui ialah tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian terbabit.

Berita Harian X