Ahad, 3 Februari 2019 | 6:15pm
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Penerima e-mel PKPS perlu daftar dengan LHDN

KUALA LUMPUR: Individu yang menerima e-mel mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) perlu mendaftar diri sebagai pembayar cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata penerima e-mel itu juga perlu melaporkan pendapatan jika gaji atau upah bulanan mereka berjumlah RM4,000 ke atas.

Katanya, mereka yang sudah berdaftar dan melaporkan pendapatan sebelum ini, tidak perlu bimbang jika menerima e-mel atau surat yang bertujuan memaklumkan mengenai PKPS yang akan berakhir 30 Jun depan.

“Bagi yang menjalankan perniagaan selain syarikat sendirian berhad yang mempunyai pendapatan tahunan berjumlah kira-kira RM48,000 selepas ditolak perbelanjaan operasi dan elaun modal yang dibenarkan, juga perlu mendaftar sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan kepada LHDN.

“Pendaftaran boleh dibuat di mana-mana cawangan LHDN atau menerusi sistem eDaftar di Portal Rasmi LHDN.

“Pembayar cukai boleh mengabaikan surat dan e-mel diterima daripada LHDN jika pendapatan diterima adalah kurang daripada jumlah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabin berkata, individu juga perlu melaporkan pendapatan kepada LHDN jika memiliki akaun bank luar negara yang dijana daripada sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai.

“Menerusi inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia mula menerima maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank luar negara mulai September 2018,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabin berkata, LHDN juga sudah mengambil tindakan terhadap pegawainya yang menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja ditetapkan.

Berita Harian X