Khamis, 31 Januari 2019 | 1:20pm
PEGAWAI Khas/ Protokol Tengku Mahkota Pahang, Datuk Abd Rahman Endut. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Naluri Al-Sultan Abdullah membantu

BERTUGAS mengiringi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sejak 45 tahun lalu, sudah tentu banyak pengalaman berharga diperoleh Pegawai Khas/ Protokol Tengku Mahkota Pahang, Datuk Abd Rahman Endut.

Ia termasuk melihat sendiri kemampuan naluri Al-Sultan Abdullah membantu mengesan jenazah pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Attas, Pekan yang rentung dalam kejadian kebakaran pada Ramadan, pada Mac 1984.

Menceritakan semula peristiwa berkenaan, Abd Rahman, 65, berkata, Al-Sultan Abdullah yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang menghubungi dan mengarahkannya mengiringinya ke lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi.

“Ketika kami tiba api sudah dipadamkan oleh bomba, baginda kemudiannya meminta kami mengira jumlah pelajar dan mendapati ada kurang seorang... Tuanku mengajak kami ke atas untuk mencari pelajar tidak dapat dikesan.

“Sebaik berada di atas Tuanku nampak mayat pelajar yang sudah rentung di bawah katil, Tuanku seolah-olah mempunyai naluri tersendiri untuk membantu dalam sebarang kejadian kecemasan seperti itu,” katanya yang pernah menjadi juruiring polis kepada Al-Sultan Abdullah selama 26 tahun.

Abd Rahman berkata, beliau berkenalan dengan Al-Sultan Abdullah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah ketika berusia belasan tahun selepas diperkenalkan sepupu baginda iaitu Raja Abu Bakar Raja Jalil Shah yang membawanya ke Pekan setiap kali cuti sekolah.

Katanya, mereka melakukan pelbagai aktiviti termasuk bermain bola sepak dan perhubungan itu semakin akrab sehingga dirinya mendapat kepercayaan daripada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah untuk mengiringi dan menjaga Al-Sultan Abdullah melanjutkan pengajian ke luar negara.

Abd Rahman berkata, ketika itu beliau mengadap Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah untuk memaklumkan mengenai tawaran latihan diterima sebagai anggota TUDM itu namun baginda memintanya menolak kerana mempunyai perancangan lain buat dirinya membabitkan Al-Sultan Abdullah.

“Pada 1975, saya mengikuti Al-Sultan Abdullah yang sudah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang ke London kerana Tuanku melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree Hertfordshire. Tugas saya adalah untuk menjaganya sepanjang berada di sana.

“Saya selalu menjemputnya daripada sekolah berasrama itu pada Jumaat ke rumah Sultan Ahmad Shah di Alymer Road dan menghantarnya kembali ke sekolah pada Ahad, saya memasak dan membasuh bajunya. Baginda ini seorang yang tidak cerewet dan mudah dijaga,” katanya yang kembali ke tanah air pada 1982 dan terus berkhidmat dengan Al-Sultan Abdullah sehingga kini.

Katanya, beliau berbangga dapat berkhidmat dengan Al-Sultan Abdullah yang cukup menyayangi rakyat dan negeri ini termasuk alam sekitar dengan tidak membenarkan pokok-pokok besar dipotong atau bangunan lama dirobohkan begitu sahaja tanpa dipulihara.

“Baginda seorang yang tenang dan tidak terburu-buru, selalu mendengar kedua-dua pihak dalam menyelesaikan isu tertentu. Tuanku tidak akan membuang kakitangannya yang didapati melakukan kesalahan sebaliknya menukarnya ke unit lain.

“Baginda juga tidak mahu menabur pasir di periuk nasi kakitangannya. Tuanku juga seorang yang teliti dan tidak suka melihat bendera Pahang koyak dipasang, etika pemakaian juga diutamakannya... saya pernah ditegur kerana tidak memakai kain samping ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerja walaupun saya sampai ketika di penghujung kenduri.

“Sikap kasih sayangnya terhadap kakitangan membuatkan kami sanggup bekerja keras walaupun ada kalanya tiada cuti, Tuanku terlalu baik,” katanya yang terharu dengan pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Berita Harian X