Selasa, 29 Januari 2019 | 11:28am

9 punca rasuah dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Analisis lebih 20,000 maklumat berkaitan rasuah diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 hingga 2018 mengenal pasti sembilan punca rasuah dengan 80 peratus daripadanya disebabkan kegagalan pentadbiran, konflik kepentingan, kelemahan kawalan dalaman dan ketidakpatuhan serta kurang ketelusan.

Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 turut mendedahkan punca rasuah berlaku ekoran kurang sokongan dan kesedaran rasuah, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah dan kelemahan penguatkuasaan.

Bagi punca kelemahan pentadbiran ekoran manipulasi terhadap sistem dan prosedur menjadi punca rasuah tertinggi mencecah 36 peratus, manakala konflik kepentingan membabitkan kuasa budi bicara, kuasa mutlak dan campur tangan politik pula 33.12 peratus.

“Semua punca utama penyebab rasuah terbabit kini diambil kira dalam membangunkan strategi dan inisiatif pelan berkenaan dengan 22 inisiatif daripada 115 inisiatif dikenal pasti berdasarkan analisis tahap impak serta kesukaran pelaksanaannya,” katanya.

Mengulas lanjut, daripada sejumlah 22 inisiatif terbabit, sebanyak 15 inisiatif tidak memerlukan usaha besar untuk pelaksanaannya, namun berimpak tinggi dalam mentransformasi tadbir urus negara.

Pelaksanaannya membabitkan enam strategi iaitu memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti politik, memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam.

Turut disenaraikan, mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang dan memupuk tadbir urus baik dan entiti korporat.

Berita Harian X