Selasa, 29 Januari 2019 | 10:23am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa Majlis Perasmian dan Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto BERNAMA

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dilancarkan

PUTRAJAYA: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 secara rasminya dilancarkan hari ini sejajar usaha merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Majlis perasmian NACP disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Majlis turut dihadiri barisan menteri Kabinet dan menteri-menteri besar.

Pelan khusus itu dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

Pelan ini dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama di mana ia mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Bertemakan 'Memecah Rantaian Rasuah’, NACP adalah pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh Iima tahun akan datang.

NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Berita Harian X