Isnin, 28 Januari 2019 | 1:29pm
PENGARAH Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Idros Yahya hadir pada majlis perasmian Anugerah Inap Desa Cemerlang dan Program Think Tank Inap Desa Malaysia di Kampungstay Desa Murni, malam tadi. - Foto Roselan Ab Malek
PENGARAH Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Idros Yahya hadir pada majlis perasmian Anugerah Inap Desa Cemerlang dan Program Think Tank Inap Desa Malaysia di Kampungstay Desa Murni, malam tadi. - Foto Roselan Ab Malek

Inap desa wujud 10,000 peluang pekerjaan - Mohamaddin

TEMERLOH: Program inap desa atau homestay berjaya mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan tetap dalam bidang pelancongan kepada penduduk di luar bandar sejak ia mula dilaksanakan di negara ini pada tahun 2013.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata, program inap desa turut berjaya menjana pendapatan sebanyak RM30 juta sepanjang tahun lalu, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Katanya, terdapat 208 kluster inap desa di seluruh negara membabitkan seramai 4,005 pengusaha dengan sebanyak 5,620 bilik.

“Industri inap desa ini juga membantu meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti.

“Program ini berjaya menarik minat pelancong asing kerana berpeluang mengalami suasana kehidupan di kampung, selain didedahkan dengan makanan serta budaya masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Anugerah Inap Desa Cemerlang dan Program Think Tank Inap Desa Malaysia di Kampungstay Desa Murni, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Idros Yahya.

Yang turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Dr Zaleha Zainuddin, wakil Community Homestay Global Network, Dr Maty Dhang Tecson dan Pengerusi Persatuan Inap Desa Malaysia, Datuk Shariman Hamdan.

Mohamaddin berkata, pengusaha inap desa perlu gunakan segala sumber, kemahiran dan keunikan yang ada di sekitar kampung supaya menjadi satu produk yang unik kepada pelancong.

Beliau berkata, industri inap desa negara ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Ulysses Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) bagi pelancongan luar bandar.

Dalam masa sama, katanya, kementerian memuji usaha tenaga penggerak pengurusan World Host dan Persatuan Homestay Malaysia yang berjaya mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Selain melahirkan usahawan pelancongan di kalangan masyarakat desa ianya juga dapat mewujudkan produk pelancongan hospitaliti desa dengan harga kompetitif dan bertaraf antarabangsa.

“Program inap desa dapat memberi pengalaman dan manfaat industri pelancongan kepada semua lapisan masyarakat khususnya penyertaan penduduk luar bandar sekali gus menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Berita Harian X