Isnin, 28 Januari 2019 | 12:59pm
PENGERUSI Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, Muzzammil Ismail. - Foto Halim Salleh

Kaji semula dasar penajaan ke universiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran untuk meneliti semula dasar baharu membabitkan program penajaan pengajian dan tawaran ke universiti berikutan ia tidak selaras dengan tawaran pengajian diterima penuntut.

Pengerusi Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, Muzzammil Ismail, berkata kerajaan seharusnya memberikan penajaan penuh khususnya buat penuntut di luar negara berikutan dasar penajaan tiga tahun tanpa pelanjutan untuk pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di luar negara yang akan dilaksanakan adalah tidak relevan.

Ini kerana, Muzzammil yang juga penuntut Ijazah PhD Durham University di United Kingdom, berkata ia berikutan terdapat ramai penuntut bagi pengajian peringkat berkenaan yang menjalani program selama empat tahun.

“Perubahan dasar penajaan ini adalah tidak wajar kerana bercanggah dengan tawaran pengajian, sekali gus memberi tekanan buat penuntut kerana tempoh penajaan dan pengajian PhD yang tidak selaras.

“Bebanan yuran pengajian penuh tahun empat dan kos sara hidup yang tinggi menyukarkan pelajar untuk menampung sendiri perbelanjaan tahun akhir terbabit dengan ketiadaan gaji dan elaun, ” katanya, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelaksanaan dasar baharu daripada Kementerian Pendidikan membabitkan tiada pelanjutan penajaan biasiswa Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) atau Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI) kepada semua penerima biasiswa yang sedang dan akan mengikuti pengajian.

Selain itu, pengajian di luar negara hanya bagi universiti yang berada di kedudukan 50 terbaik dunia oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (QS-WUR).

Kerajaan juga menyediakan laluan khas program tajaan luar negara dalam bidang kebijaksanaan tiruan (IA) dengan penajaan baharu bermula pada 1 September 2019.

Pada masa sama, Muzzammil turut menghargai komitmen Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang sudi meluangkan masa bersama Kelab Bunga Raya Cawangan Sheffield membabitkan kira-kira 100 penuntut dalam menjayakan sesi ‘townhall’ Harapan Baru Pendidikan Negara di Sheffield University, United Kingdom, Jumaat lalu.

Melalui sesi perjumpaan selama dua jam itu, katanya antara intipati perbincangan membabitkan Dasar Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan AI dalam subjek pengajian sekolah serta universiti.

“Perbincangan bersama penuntut dan komuniti Malaysia di Sheffield ini juga berfokus kepada isu biasiswa 3+1 (KPM-IPTA) yang sejak sekian lama menjadi masalah kepada penuntut di peringkat PhD di bawah tajaan IPTA-KPM, ” katanya.

Berita Harian X